Thursday, December 3, 2009

Natrah@Istana Budaya-02 dec 2009




Ia menceritakan kisah benar seorang wanita Belanda yang bernama Natrah atau Maria Huberdina Hertogh yang diserahkan oleh ibunya kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya yang ditawan tentera Jepun.

Sejak ditinggalkan bersama Che Aminah, Natrah dipelihara dan menjalani hidup dalam suasana dan budaya Islam.

Namun apabila bapanya Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh tentera Amerika Syarikat (AS), dia pulang ke Bandung, Jawa untuk mencari anaknya Natrah yang ketika itu berada di Terengganu.

Konflik berlaku apabila perebutan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda.

Che Aminah yang diwakili peguam Ahmad Ibrahim menang dalam kes rayuan dan Natrah dikembalikan ke pangkuannya.

Kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di Singapura.

Natrah pada ketika itu berusia 13 tahun manakala Mansor berusia 22 tahun.

Sungguhpun undang-undang Syariah Islam membenarkan perempuan berkahwin dalam usia tersebut namun mengikut Undang-Undang Belanda, kehidupan seorang anak yang berumur di bawah usia 16 tahun ditentukan oleh bapa kanak-kanak tersebut.

Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Mengikut laporan, seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.